MESYUARAT PENGURUSAN BAHAGIAN SUMBER MANUSIA
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BERSAMA KESATUAN-KESATUAN GURU 1/2008
ISU 1: 'GAJI TIDAK SETIMPAL USAHA' BAGI GURU-GURU DG41 ( LANTIKAN KEDUA TANPA LANTIKAN GRED DGA32 )
PENGENALAN
Umum mengertahui bahawa guru-guru DGA29 (PPPBS) yang melanjutkan pelajaran dan dilantik ( selepas tamat pengajian ) bagi kali kedua tanpa menikmati lantikan Gred DGA32 'Time-Based, sememangnya mengalami kerugian besar dari segi emolumen / gaji berbanding dengan guru-guru DGA29 yang dilantik ke Gred DG41 setelah mereka menikmati lantikan sama ada Gred DGA32 'Time-Based' atau hakiki.dan juga DGA34. Oleh itu, guru-guru ini menamakan diri mereka sebagai 'Guru Malang'.
Hal ini terjadi kerana tiada instrumen yang digunakan untuk mengambil kira kedudukan 'Guru Malang' ini dari segi kebajikan (gred dan gaji) serta psikologi (ketidakpuasan / hilang motivasi ) apabila dasar penggajian baru seperti lantikan ke Gred DGA32 KUP (sejak 2004) yang melambak pada masa kini dan ditambah lagi dengan kenaikan gaji mengikut peratus (2007) dilaksanakan. Dasar-dasar sebegini telah menyebabkan jurang emolumen yang semakin ketara di antara 'Guru-Guru Malang' ini dengan guru-guru DGA29 yang dilantik ke Gred DGA32 (KUP/Hakiki) atau DGA34 dan seterusnya dilantik ke Gred DG41 sedangkan ada di antara 'Guru Malang' ini boleh dianggap senior juga dalam Gred DG41.
JUSTIFIKASI
Untuk menjelaskan lagi senario yang dibincangkan ini, sila rujuk jadual perbandingan (Jadual 1) senioriti dan juga gaji yang yang diterima oleh 'Guru malang' ini dengan guru-guru yang telah menikmati lantikan Gred DGA32/DGA34 sebelum mereka dilantik ke Gred DG41.
CADANGAN
Dicadangkan pembaikan gaji 'Guru malang' (di sekolah / jabatan) khas untuk PPPBS DGA29 yang tidak menikmati lantikan ke Gred DGA32 / DGA34 sebelum dilantik ke Gred DG41. Pembaikan-pembaikan yang dicadangkan adalah seperto berikut:
(i) Kenaikan ke Gred Dg44 setelah 5 tahun dalam Gred DG41 mulai 1.1.2005
(ii) Keistimewaan ini boleh diberi dengan syarat 'Guru Malang' ini telah berkhidmat tidak kurang daripada 10 tahun dalam Gred DGA29 (PPPBS) atau tempoh perkhidmatan adalah 15 tahun ke atas.
(iii) Guru-guru yang hendak dinaikkan ke Gred DG44 hendaklah melepasi tahap kecekapan DG41.
ISU 2: KEBAJIKAN GURU-GURU DG41 ( LANTIKAN KEDUA TANPA LANTIKAN GRED DGA32 / DGA34 YANG BERTUGAS DI JABATAN / PEJABAT )
PENGENALAN
Kebajikan guru-guru DG41 ( Khasnya bagi lantikan kali kedua dan tidak pernah menikmati lantikan Gred DGA32 / DGA34yang bertugas di jabatan / pejabat perlu diambil berat. Ini adalah memandangkan mereka yang terpilih untuk berkhidmat di jabatan / pejabat adalah dari kalangan pegawai yang cemerlang ketika mereka berada atau berkhidmat di sekolah sebelumnya. Apabila mereka dikehendaki berkhidmat di jabatan / pejabat, mereka seolah-olah seperti golongan yang teraniaya disebabkan mereka terlepas peluang untuk mengecapi kenaikan pangkat berbanding dengan rakan-rakan di sekolah. Malahan, kalau dibandingkan dengan Penyelia Kumpulan ( DGA32 / DGA34 ) yang berkhidmat di jabatan / pejabat masih mempunyai peluang untuk menikmati kenaikan pangkat yang setara dengan guru-guru di sekolah sedangkan guru-guru DG41 ( yang berada dalam kelompok ini ) tidak mendapat peluang yang mudah.
JUSTIFIKASI
Beberapa justifikasi yang relevan untuk mempertimbangkan perkara ini ialah:
(i) Gaji guru DG41 ( kelompok ini ) adalah kurang atau lebih rendah sekiranya dibandingkan dengan Penyelia Kumpulan DGA32.
(ii) Guru DG41 ini tidak layak menuntut elaun lebih masa walaupun mereka juga terpaksa bekerja lebih masa sedang Penyelia Kumpulan DGA32 yang gajinya lebih besar adalah layak menuntu elaun lebih masa.
(iii) Beban tugas yang lebih berat kalau dibandingkan dengan tugas Penolong- Penolong kanan di sekolah.
(iv) Tidak berpeluang untuk memohon guru cemerlang.
CADANGAN
Adalah dicadangkan agar penambahbaikan untuk menangani kebajikan guru-guru ini perlu diusahakan dengan sewajarnya. Antara cadangan adalah berdasarkan status guru seperti berikut:
(i) Guru DG41 / DG44 ( Lantikan Kedua dan tidak pernah menikmati lantikan Gred DGA32 / DGA34 ) yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun - senioriti harus diutamakan.
(ii) Guru DG41 / DG44 ( Lantikan kedua dan pernah dilantik ke Gred DGA32 / DGA34 )
(iii) Guru DG41 (dari mula lantikan) tetapi telah berkhidmat melebihi 15 tahun
(iv) Guru DG41 (dari mula lantikan) tetapi berkhidmat kurang daripada 10 tahun
ISU 3: KAJI SEMULA KELAYAKAN BAYARAN ELAUN MENGIKUT LOKASI DAN TAHAP KESUSAHAN (EMLTK)
PENGENALAN
Pembayaran insentif pedalaman bagi guru-guru dan yang berkhidmat di kawasan pedalaman merupakan satu ganjaran untuk menggalakkan guru-guru berkhidmat di kawasan pedalaman di samping mengurangkan bebanan mereka yang terbabit. Namun, apa yang menjadi kemusykilan di sini ialah pembayaran insentif ini telah menimbulkan rasa kurang senang segelintir guru-guru kerana berdasarkan lokasi mereka layak menerima tetapi berlaku sebaliknya.
JUSTIFIKASI
(i) Terdapat kawasan yang lebih teruk lagi daripada kawasan yang telah layak menerima sekarang telah dikategorikan sebagai tidak layak.
(ii) Ada kawasan yang sepatutnya layak mendapat kategori pedalaman 3 tetapi hanya layak bagi pedalaman 1 atau 2 sahaja.
(iii) Penilaian kawasan untuk melayakkan elaun insentif ini telah dilaksanakan dengan kurang berhemah dan juga tidak berhati-hati. Pegawai-pegawai penilai hanya membuat penilaian berdasarkan temubual sahaja tanpa melalui keadaan yang sebenar.
CADANGAN
KGBS mencadangkan agar:
(i) Penialaian semula perlu dilaksanakan supaya ia lebih adil dan menyeluruh.
(ii) Lawati dan nilai semula kawasan yang sepatutnya layak tetapi dikategori sebagai tidak layak.
(iii) Buat tinjauan ke lokasi yang sebenarnya, bukan hanya melalui temubual sahaja.
(iv) Bagi sekolah yang berada di kawasan yang telah digazetkan oleh Kerajaan Negeri sebagai kawasan yang sukar perlu diberi insentif ini secara automatik.
ISU 4: PENGISIAN JAWATAN KENAIKAN PANGKAT SESEORANG GURU PERLU DILAKSANAKAN DENGAN CARA YANG LEBIH BERHEMAH
Tahniah dan terima kasih atas keprihatinan KPM kerana telah berjaya mewujudkan banyak kenaikan pangkat yang akan dan telah dinikmati oleh ramai kalangan guru pada masa kini. Namun, apa yang menjadi kemusykilan dalam kalangan guru ialah kaedah pelaksanaannya.
Contohnya: Umum mengetahui bahawa banyak jawatan kenaikan pangkat bagi guru-guru yang mengajar kelas Tingkatan 6 mulai tahun ini (2008). Daripada maklumat yang 'didengar', difahamkan bahawa guru-guru sedia ada yang mengajar dalam kelas Tingkatan 6 pada masa kini berpeluang untuk menikmati kenaikan pangkat tersebut tanpa mengambilkira senioriti seseorang guru berkenaan. Sekiranya situasi ini timbul, KGBS berpendapat dan khuatir bahawa secara tidak langsung senario ini sedikit sebanyak akan mengguriskan perasaan guru-guru yang senior dan tidak berpeluang langsung untuk mengajar dalam kelas Tingkatan 6 sebelum ini.
CADANGAN
Berdasarkan senario yang 'didengar' ini, KGBS mencadangkan agar diwujudkan satu mekanisme pemilihan untuk melantik seseorang guru dalam apa juga jawatan naik pangkat dengan lebih adil dan berhemah dengan mengambilkira senioriti seseorang guru itu. KGBS tidak bermaksud untuk menolak kewujudan peluang kenaikan pangkat dalam kalangan guru tetapi lebih menekankan tentang mekanisme pelaksanaan pelantikan tersebut. Dengan demikian, KGBS berharap ia dapat mengurangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan guru tentang peluang kenaikan pangkat ini.
ISU 5: JAWATAN GURU PENOLONG KANAN KOKURIKU-LUM GRED DG44 DI SEKOLAH MENENGAH
Berdasarkan perjawatan yang akan digunapakai di sekolah menengah yang mempunyai kelas Tingkatan 6, semua Guru Penolong Kanan ( kecuali GPK Kokurikulum ) adalah DG44. Ketua Bidangnya juga adalah DG44.
Hierarki ini agak ironi apabila GPK Kokurikulum dikecualikan sedangkan tugas beliau adalah bertanggungjawab untuk merancang aktiviti kokurikulum secara keseluruhan di sekolah berkenaan. Yang menjadi ironinya lagi apabila jawatan Guru Penolong Kanan Kokurikulum Bagi Tingkatan 6 juga turut diwujudkan dengan gred DG48 dan seolah-olah menafikan jawatan GPK Kokurikulum sedia ada.
CADANGAN
Memandangkan jawatan Guru Penolong Kanan Kokurikulum ini merupakan jawatan yang penting di sekolah-sekolah menengah, maka KGBS mencadangkan agar jawatan tersebut dikekalkan dan juga diletakkan pada gred DG44 seperti mana jawatan Guru-Guru Penolong Kanan yang lain. KGBS berpendapat bahawa jawatan ini adalah pemangkin ke arah kemajuan serta kecemerlangan program kokurikulum sesebuah sekolah sebelum ini dan pada masa yang akan datang.
ISU 6: MENAIKKAN ELAUN WARDEN
Warden merupakan ibu bapa yang kedua bagi seseorang pelajar apabila mereka berada di asrama. Sebarang tugas dan bebanan ibu bapa telah diambilalih oleh warden semasa pelajar-pelajar berada di asrama sama ada pada waktu siang ataupun malam. Memandangkan tugas warden semakin mencabar dan bertambah berat dengan pelbagai tanggungjawab maka KPM perlu mengambilkira kesediaan guru-guru menjalankan tugas sebagai warden. Perlu diingat bahawa tidak ramai guru yang berada di sekolah yang mempunyai asrama sanggup menjadi warden.
CADANGAN
KGBS mencadangkan agar elaun warden sedia ada dinaikkan kepada RM500.00 sebulan bagi Ketua Warden manakala bagi Penolong Warden dinaikkan kepada RM400.00 sebulan. Dengan adanya kenaikkan ini, ia merupakan insentif kepada guru-guru yang sanggup menerima tanggungjawab sebagai warden.
ISU 7: SELARASKAN BAYARAN INSENTIF PPSMI BAGI SEMUA KATEGORI / GRED GURU
Pelaksanaan bayaran insentif PPSMI sekarang adalah berdasarkan kategori / gred seseorang guru. Guru siswazah dibayar 5 % manakala guru bukan siswazah dibayar 10 %. Amalan ini tidak relevan lagi memandanmgkan ramai guru bukan siswazah berada pada gred DGA32 dan ada diantara mereka mempunyai gaji yang lebih besar daripada guru gred DG41.
CADANGAN
Memandangkan ramai guru bukan siswazah telah berada pada gred DGA32 dan ada diantara gaji mereka melangkaui gaji guru DG41, maka KGBS mencadangkan agar bayaran insentif PPSMI diselaraskan kepada 10 % bagi semua kategori guru. Di samping itu, bebanan tugas mengajar dan 'hasil' yang diharapkan adalah sama bagi semua guru yang terlibat tanpa mengira guru siswazah atau pun guru bukan siswazah.