ISU 1: HIERARKI JAWATAN DI SEKOLAH RENDAH PERLU DIPERKEMASKAN
Trend pendidikan sekarang ialah untuk menempatkan guru-guru siswazah ( DG41 ) di sekolah rendah ditambah lagi dengan kebanyakan guru di sekolah rendah sekarang adalah terdiri daripada kalangan guru DGA32 'time-based'. Di samping itu, IPG sekarang lebih menjurus kepada produk guru siswazah dimana gred mereka DG41 yang akan ditempat secara khusus di sekolah-sekolah rendah. Melihat kepada senario ini, struktur pentadbiran di sekolah rendah akan menjadi tidak relevan kerana ia tidak menampakkan hierarki yang jelas malahan ia kelihatan bercelaru kalau dibandingkan dengan keadaan sebelum ini. Contohnya, Guru Besar sekolah rendah berada pada gred DG41 atau DGA34, sedangkan terdapat guru di bawah pentadbiran beliau berada pada gred DG41. Malahan gred DG41 bagi Guru Besar pada masa kini bukannya satu jawatan kenaikan pangkat.
CADANGAN
KGBS mencadangkan agar hierarki jawatan di sekolah rendah perlu distruktur semula. Dengan demikian, hierarki tersebut lebih jelas dan juga secara langsung memberi penghormatan kepada penjawat jawatan secara hakiki. Justeru KGBS mencadangkan diwujudkan jawatan-jawatan berikut untuk mengimbangi situasi masa kini.
(i) Bagi sekolah rendah kategori A, dicadangkan Guru Besarnya gred DG48 manakala Penolong Kanan ( Pentadbiran / HEM / KK ) gred DG44.
(ii) Bagi sekolah rendah kategori B (SKM) dicadangkan Guru Besarnya gred DG44 manakala Penolong Kanannya (Pentadbiran / HEM / KK ) gred DGA38 atau DGA34.
ISU 2: PENGISIAN JAWATAN KENAIKAN PANGKAT SESEORANG GURU PERLU DILAKSANAKAN DENGAN CARA YANG LEBIH BERHEMAH
Tahniah dan terima kasih atas keprihatinan KPM kerana telah berjaya mewujudkan banyak kenaikan pangkat yang akan dan telah dinikmati oleh ramai kalangan guru pada masa kini. Namun, apa yang menjadi kemusykilan dalam kalangan guru ialah kaedah pelaksanaannya.
Contohnya: Umum mengetahui bahawa banyak jawatan kenaikan pangkat bagi guru-guru yang mengajar kelas Tingkatan 6 mulai tahun ini (2008). Daripada maklumat yang 'didengar', difahamkan bahawa guru-guru sedia ada yang mengajar dalam kelas Tingkatan 6 pada masa kini berpeluang untuk menikmati kenaikan pangkat tersebut tanpa mengambilkira senioriti seseorang guru berkenaan. Sekiranya situasi ini timbul, KGBS berpendapat dan khuatir bahawa secara tidak langsung senario ini sedikit sebanyak akan mengguriskan perasaan guru-guru yang senior dan tidak berpeluang langsung untuk mengajar dalam kelas Tingkatan 6 sebelum ini.
CADANGAN
Berdasarkan senario yang 'didengar' ini, KGBS mencadangkan agar diwujudkan satu mekanisme pemilihan untuk melantik seseorang guru dalam apa juga jawatan naik pangkat dengan lebih adil dan berhemah dengan mengambilkira senioriti seseorang guru itu. KGBS tidak bermaksud untuk menolak kewujudan peluang kenaikan pangkat dalam kalangan guru tetapi lebih menekankan tentang mekanisme pelaksanaan pelantikan tersebut. Dengan demikian, KGBS berharap ia dapat mengurangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan guru tentang peluang kenaikan pangkat ini.
ISU 3: JAWATAN GURU PENOLONG KANAN KOKURIKU-LUM GRED DG44 DI SEKOLAH MENENGAH
Berdasarkan perjawatan yang akan digunapakai di sekolah menengah yang mempunyai kelas Tingkatan 6, semua Guru Penolong Kanan ( kecuali GPK Kokurikulum ) adalah DG44. Ketua Bidangnya juga adalah DG44.
Hierarki ini agak ironi apabila GPK Kokurikulum dikecualikan sedangkan tugas beliau adalah bertanggungjawab untuk merancang aktiviti kokurikulum secara keseluruhan di sekolah berkenaan. Yang menjadi ironinya lagi apabila jawatan Guru Penolong Kanan Kokurikulum Bagi Tingkatan 6 juga turut diwujudkan dengan gred DG48 dan seolah-olah menafikan jawatan GPK Kokurikulum sedia ada.
CADANGAN
Memandangkan jawatan Guru Penolong Kanan Kokurikulum ini merupakan jawatan yang penting di sekolah-sekolah menengah, maka KGBS mencadangkan agar jawatan tersebut dikekalkan dan juga diletakkan pada gred DG44 seperti mana jawatan Guru-Guru Penolong Kanan yang lain. KGBS berpendapat bahawa jawatan ini adalah pemangkin ke arah kemajuan serta kecemerlangan program kokurikulum sesebuah sekolah sebelum ini dan pada masa yang akan datang.
ISU 4: SEDIAKAN GARIS PANDUAN BAYARAN TAMBAHAN YANG KOMPREHENSIF
Menjelang permulaan persekolahan tahun ini (2008) isu bayaran tambahan telah menjadi pertikaian dan rungutan daripada ibu bapa.. Walaupun terdapat pakej yang disediakan oleh KPM, namun dengan pelbagai bayaran yang lain telah menimbulkan kekeliruan dan seterusnya rungutan di kalangan ibu bapa. Secara tidak langsung, ia telah menimbulkan tekanan kepada pihak pentadbir sekolah dan para guru yang sentiasa melaksanakan tugas dengan sabar.
CADANGAN
KGBS mencadangkan agar KPM menyediakan satu garis panduan bayaran tambahan yang lebih komprehensif untuk digunapakai mulai tahun 2009. Bagi KGBS, pakej yang sedia ada masih belum mencukupi dan ia perlu merangkumi keperluan yang diperlukan oleh pihak sekolah. Contohnya, yuran PIBG, tali leher pelajar, baju-T sukan pelajar dan keperluan-keperluan lain yang boleh menjadi identiti sesebuah sekolah. Semua bayaran bagi setiap keperluan ini perlu ditetapkan dengan menyediakan bayaran silingnya. Senarai bayaran ini hendaklah dimasukkan ke dalam pakej yang sedia ada untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan ibu bapa. Dengan adanya garis panduan yang seragam ini nanti akan memudahkan pihak pentadbir sekolah dan para guru melaksanakan tugas mereka pada setiap awal tahun. KGBS juga menyarankan agar ditubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji serta menyediakan garis panduan tersebut.
ISU 5: MENAIKKAN ELAUN WARDEN
Warden merupakan ibu bapa yang kedua bagi seseorang pelajar apabila mereka berada di asrama. Sebarang tugas dan bebanan ibu bapa telah diambilalih oleh warden semasa pelajar-pelajar berada di asrama sama ada pada waktu siang ataupun malam. Memandangkan tugas warden semakin mencabar dan bertambah berat dengan pelbagai tanggungjawab maka KPM perlu mengambilkira kesediaan guru-guru menjalankan tugas sebagai warden. Perlu diingat bahawa tidak ramai guru yang berada di sekolah yang mempunyai asrama sanggup menjadi warden.
CADANGAN
KGBS mencadangkan agar elaun warden sedia ada dinaikkan kepada RM500.00 sebulan bagi Ketua Warden manakala bagi Penolong Warden dinaikkan kepada RM400.00 sebulan. Dengan adanya kenaikkan ini, ia merupakan insentif kepada guru-guru yang sanggup menerima tanggungjawab sebagai warden.
ISU 6: SEMUA GURU PENOLONG KANAN (LANTIKAN DALAMAN) DISERAPKAN KE JAWATAN YANG MEREKA SANDANG SEKARANG SECARA HAKIKI
Terdapat Guru Penolong Kanan di sekolah-sekolah rendah tertentu adalah dilantik secara dalaman. Ini adalah disebabkan sekolah tersebut tidak layak untuk mendapat kuota Guru Penolong Kanan secara hakiki.
CADANGAN
Memandangkan ramai di antara Guru Penolong Kanan di sekolah rendah yang dilantikan secara dalaman sekarang berada pada gred DGA32 (KUP), maka KGBS mencadangkan agar guru-guru berkenaan diserap sebagai Guru Penolong Kanan gred DGA32 hakiki. Ini adalah bertujuan untuk membezakan jawatan mereka dengan kebanyakan guru di sesebuah sekolah rendah yang telah berada pada gred DGA32 (KUP). Dengan lantikan ini juga akan menjadi insentif kepada penjawat jawatan tersebut sekarang ini.
ISU 7: SELARASKAN BAYARAN INSENTIF PPSMI BAGI SEMUA KATEGORI / GRED GURU
Pelaksanaan bayaran insentif PPSMI sekarang adalah berdasarkan kategori / gred seseorang guru. Guru siswazah dibayar 5 % manakala guru bukan siswazah dibayar 10 %. Amalan ini tidak relevan lagi memandanmgkan ramai guru bukan siswazah berada pada gred DGA32 dan ada diantara mereka mempunyai gaji yang lebih besar daripada guru gred DG41.
CADANGAN
Memandangkan ramai guru bukan siswazah telah berada pada gred DGA32 dan ada diantara gaji mereka melangkaui gaji guru DG41, maka KGBS mencadangkan agar bayaran insentif PPSMI diselaraskan kepada 10 % bagi semua kategori guru. Di samping itu, bebanan tugas mengajar dan 'hasil' yang diharapkan adalah sama bagi semua guru yang terlibat tanpa mengira guru siswazah atau pun guru bukan siswazah.