ISU 1: KECELARUAN HIERARKI JAWATAN DI SEKOLAH RENDAH
Tahniah diucapkan kepada KPM kerana telah berjaya mewujudkan banyak peluang kenaikan pangkat kepada guru-guru khususnya kenaikan pangkat secara "time-based" kepada golongan guru kategori DGA29 ke DGA32 (KUP).
Apa yang menjadi kemusykilan ialah dengan kewujudan kenaikan pangkat yang luas ini telah sedikit-sebanyak menimbulkan kecelaruan hierarki jawatan di sekolah rendah. Lebih-lebih lagi kebanyakan sekolah rendah sekarang telah dipenuhi oleh guru-guru DGA32. Kesan daripada kecelaruan ini telah memberi impak yang tidak baik khususnya kepada para pentadbir sekolah.
CADANGAN
KGBS mencadangkan agar hierarki jawatan di sekolah rendah perlu distruktur semula. Dengan demikian, hierarki tersebut lebih jelas dan juga secara langsung memberi penghormatan kepada penjawat jawatan secara hakiki. Justeru KGBS mencadangkan diwujudkan jawatan-jawatan berikut untuk mengimbangi situasi masa kini.
Jawatan DGA38 : Guru Besar Cemerlang (sudah diluluskan)
Jawatan DGA36 : Sebagai ganti jawatan Guru Besar DGA34
Jawatan DGA34 : Sebagai ganti jawatan Guru Penolong Kanan DGA32 (Hakiki)
ISU 2: TIDAK WUJUD PERBEZAAN JAWATAN DG48 (HAKIKI) DENGAN DG48 (KUP)
Jawatan DG48 (Hakiki) kebiasaannya disandang oleh Pengetua Sekolah-Sekolah Menengah, PPD/PPG dan juga Ketua-Ketua Sektor di JPN. Manakala jawatan DG48 (KUP) ini disandang oleh guru-guru yang dilantik secara "time-based".
Dari segi jawatan, kedua-duanya tidak menampakkan perbezaan kerana kedua-duanya menerima insentif yang sama. Persoalannya di sini, pemegang jawatan DG48 (Hakiki) terpaksa menanggung beban tugas yang lebih berat berbanding dengan pemegang jawatan DG48 (KUP). Sedangkan, terdapat juga pemegang jawatan DG48 (KUP) ini menerima imbuhan atau insentif yang lebih besar jika dibandingkan dengan pemegang jawatan yang hakiki ini.
CADANGAN
Untuk memperjelaskan perbezaan jawatan DG48 (Hakiki) dengan jawatan DG48 (KUP), KGBS mencadangkan agar satu mekanisme diwujudkan sama ada dari segi insentif atau imbuhan lain yang perlu diberikan kepada pemegang jawatan DG48 (Hakiki).
Dengan adanya perbezaan ini, ia akan menampakkan hierarki yang lebih jelas dalam pentadbiran organisasi pendidikan khususnya di sekolah-sekolah menengah. Secara langsung, perbezaan ini akan mewujudkan semangat yang lebih tinggi kepada pemegang jawatan DG48 (Hakiki).
ISU 3: PENGISIAN JAWATAN DG44 BAGI GURU-GURU PENOLONG KANAN DAN PENYELIA PETANG DI SEKOLAH MENENGAH
Dalam kegembiraan golongan guru DGA29 menerima perlantikan DGA32 secara "time-based" di sekolah rendah yang begitu agresif, namun perkara sebaliknya berlaku kepada pengisian jawatan Guru-Guru Penolong Kanan dan Penyelia Petang ke DG44 yang begitu perlahan sekali. Ini terbukti kerana masih kedapatan banyak sekolah menengah yang Guru-Guru Penolong Kanan dan Penyelia Petangnya berada pada DG41 sedangkan ada di antara mereka telah lulus PTK dan juga mempunyai senioriti dalam perkhidmatan. Situasi ini amat menyedihkan sekali.
CADANGAN
KGBS mencadangkan agar pengisian jawatan DG44 bagi Guru-Guru Penolong Kanan dan Penyelia Petang dapat dipercepatkan. Tindakan ini secara langsung sebagai memenuhi seruan untuk memperkasakan organisasi pendidikan.
ISU 4: JAWATAN GURU PENOLONG KANAN SECARA HAKIKI DI SEKOLAH RENDAH GRED A
Terdapat Sekolah-Sekolah Rendah Gred A yang Guru-Guru Penolong Kanannya yang masih lagi mempraktikkan lantikan secara dalaman sahaja.
CADANGAN
KGBS mencadangkan agar jawatan Guru Penolong Kanan di sekolah-sekolah berkenaan diisi dengan jawatan Guru Penolong Kanan secara hakiki.
ISU 5:. GAJI GURU DGA32 (TIME-BASED) MELANGKAUI GAJI GURU DG41
KGBS mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan mengumumkan kenaikan gaji kakitangan perkhidmatan awam termasuk golongan guru baru-baru ini.
Namun demikian, ia sedikit-sebanyak telah menimbulkan rasa terkilan di kalangan guru DG41 kerana gaji mereka jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan guru-guru DGA32 (time-based) ini. Sebagai contoh:.
Guru DGA29 ( 11 tahun perkhidmatan ) dilantik ke DGA32 mendapat gaji baru sebanyak RM2416.06 (P1T1)
Guru DGA29 (11 tahun perkhidmatan ) dilantik ke DG41 mendapat gaji baru sebanyak RM1967.20 (P1T4).
Guru DGA29 (13 tahun perkhidmatan) dilantik ke DG41 (9 tahun perkhidmatan) mendapat gaji baru sebanyak RM2690.60 (P1T12)
Daripada perkiraan tersebut, gaji guru DGA32 melebihi gaji guru DG41 sebanyak RM448.86 walaupun dari segi tempoh perkhidmatan mereka adalah sama.
Manakala perbezaan hanya RM273.46 sekiranya dibandingkan dengan guru DG41 yang telah berkhidmat secara keseluruhan- nya selama 22 tahun yang jauh lebih senior daripada guru DGA32 di atas.
CADANGAN
KGBS amat menghargai usaha golongan guru yang sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit malahan keluarga sering ditinggalkan demi mendapat segolong ijazah. Di samping itu, golongan guru ini juga telah berusaha untuk memenuhi seruan kerajaan khususnya YAB Perdana Menteri yang mahu golongan guru sentiasa menambah ilmu sebagai nilai tambah dalam perkhidmatan masing-masing.
Justeru sebagai ganjaran daripada segala pengorbanan yang dicurahkan oleh golongan guru ini, KGBS mencadangkan agar peluang kenaikan pangkat DG44 (time-based) dipercepatkan tempohnya daripada 10 tahun ke 3 tahun sahaja. Cadangan ini adalah merangkumi semua guru yang dahulunya adalah guru DGA29 yang dilantik ke DG41 dan juga guru DG41 (asas). Lantikan ini dicadangkan dibuat secara "back dated"
Dengan cara ini, jurang perbezaan gaji yang begitu ketara di antara dua kelompok ini dapat diimbangi dan secara langsung akan menyuntik semangat sebagai penghargaan ke atas pengorbanan yang mereka tempuhi sebelum ini. Selain daripada itu, mekanisme ini secara langsung menggambarkan bahawa kerajaan khususnya KPM adalah sebuah organisasi yang menghargai seseorang yang sentiasa berusaha untuk menambah ilmu mereka.