Create your own web pages in minutes...
Create your own web pages in minutes...
1. BAYARAN INSENTIF PEDALAMAN
Bayaran Insentif Pedalaman merupakan satu insentif yang diberikan kepada guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman. Memandangkan insentif ini memungkinkan guru-guru yang berminat untuk mengajar / berpindah ke kawasan yang berkenaan, KGBS mencadangkan agar jabatan perlu mengeluarkan senarai kriteria kelayakan serta nama-nama sekolah yang layak bagi seluruh negeri Sarawak kepada pihak kesatuan / persatuan / majlis. Dengan adanya salinan ini diedarkan kepada pihak kesatuan / persatuan / majlis maka ia akan dapat menjadi rujukan kepada badan-badan berkenaan apabila ada pertanyaan daripada ahli-ahli.
2. MEMPERKASAKAN SEKOLAH KEBANGSAAN
Memperkasakan Sekolah Kebangsaan merupakan satu agenda besar dalam PIPP. KGBS amat memandang tinggi dan menyokong agenda ini supaya Sekolah Kebangsaan menjadi sebuah institusi pendidikan yang cemerlang dan menjadi pilihan semua masyarakat negara ini. Dalam usaha untuk menjayakan agenda ini, KGBS melihat masih kedapatan keadaan sekolah-sekolah kebangsaan yang kurang memuaskan dari segi kemudahan asasnya. Contohnya, bangunan sekolah yang boleh dikategorikan sebagai bangunan yang uzur, bilik kelas yang kurang sesuai, dan sebagainya. Malahan bilik guru juga kurang memotivasikan kalangan guru sekolah berkenaan. Justeru, KGBS menyarankan agar jabatan perlu melihat masalah ini demi mengangkat martabat Sekolah Kebangsaan dan juga profesion perguruan.
3. MEMPERKASAKAN PROFESION PERGURUAN
Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran sentiasa memberi galakan kepada guru-guru untuk melanjutkan pelajaran demi mempertingkatkan ilmu masing-masing. KGBS mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran atas seruan tersebut. Dalam usaha Kementerian Pelajaran menggalakkan guru-guru melanjutkan pelajaran, KGBS mendapati seolah-olah terdapatnya sekatan dalam bidang-bidang kursus yang ditawarkan. Kursus-kursus yang ditawarkan adalah terhad kepada bidang-bidang tertentu sahaja. Oleh yang demikian, demi memperkasakan profesion perguruan, KGBS mencadangkan agar bidang-bidang kursus tersebut perlu diperluaskan. KGBS berpendapat, kebanyakan kursus yang ditawarkan oleh IPTA tetapi tidak ditawarkan oleh kementerian adalah relevan dengan dunia pendidikan pada masa kini.
4. PENEMPATAN GURU
Tahniah kepada pihak jabatan kerana berjaya menguruskan penempatan guru-guru yang memohon perpindahan bagi tahun 2008. Namun demikian, KGBS mendapati penempatan ini wujudnya ketidakseimbangan dari segi opsyen guru di sekolah-sekolah tertentu. Kesan daripada penempatan sedemikian, ia telah sedikit-sebanyak menyukarkan pihak pentadbir sekolah mengagihkan guru yang sesuai berdasarkan opsyen guru-guru berkenaan. Justeru, KGBS menyarankan agar penempatan ini perlu dilihat semula supaya agihan guru di sekolah-sekolah adalah seimbang mengikut opsyen.
5. KELEWATAN PEMBAYARAN TUNTUTAN GURU
Guru-guru sering diminta untuk membantu untuk melaksanakan sesuatu aktiviti khususnya aktiviti luar yang dianjurkan oleh kementerian / jabatan. Apa yang menjadi kemusykilan KGBS dalam perkara ini ialah tentang tuntutan oleh guru-guru yang layak menuntut lambat dibayar setelah mengemukakan borang tuntutan. Dalam hal yang sedemikian, KGBS memohon agar pihak jabatan dapat melihat kebajikan guru-guru berkenaan apabila mempertimbangkan permohonan tuntutan mereka.