KERTAS CADANGAN UNTUK DIKEMUKAKAN DALAM MESYUARAT
PERMUAFAKATAN KETUA PENGARAH PELAJARAN
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BIL. 2/2008
BERTEMPAT DI JOHOR BAHRU
19 HINGGA 21 SEPTEMBER 2008
1. CADANGAN UNTUK MEMBERI KENAIKAN PANGKAT BAGI GURU-GURU DG44 KE DG48 DENGAN MENGAMBILKIRA TEMPOH PERKHIDMATAN PPPLDTERDAHULU BAGI MEREKA YANG TIDAK MENIKMATI FAEDAH KENAIKAN PANGKAT DG41 KE DG44 DENGAN MENGAMBILKIRA TEMPOH PERKHIDMATAN PPLD
1.0 PENGENALAN
Umum mengertahui bahawa guru-guru DG41 ( yang dahulunya DGA29 (PPPLD) yang dilantik bagi kali kedua tanpa menikmati lantikan Gred DGA32 'Time-Based" ), akan menikmati kenaikan pangkat ke DG44 dengan mengambilkira tempoh perkhidmatan mereka semasa dalam skim PPPLD. Perkara ini telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri semasa Pelancaran Majlis Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Melaka pada bulan Mei yang lalu.
Walaupun berita ini merupakan sesuatu yang menggembirakan, namun timbul perasaan disebaliknya bagi kalangan guru yang sama kelompok ini tetapi tidak berpeluang menikmati imbuhan ini. Ini adalah disebabkan mereka sudah berada dalam gred DG44 tatkala berita ini dimumkan. Justeru itu, untuk menyeimbangi keadaan ini maka kertas cadangan ini telah dikemukakan.
2.0 TUJUAN
Kertas cadangan ini bertujuan :
2.1 Memberi kenaikan pangkat bagi guru-guru DG44 ke DG48 yang dahulunya berada dalam skim PPPLD tanpa menikmati faedah yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk kenaikan pangkat mereka dari DG41 ke DG44.
2.2 Menggunapakai kaedah kenaikan pangkat DG41 ke DG44 (yang dahulunya skim PPPLD) yang diumumkan oleh Perdana Menteri bagi kenaikan pangkat DG44 ke DG48 yang dahulunya dalam skim PPPLD dan tidak berpeluang menikmati faedah yang diumumkan tersebut.
2.3 Mengurangkan rasa tidak puas hati dan juga sebagai memotivasikan dalam kalangan kumpulan guru yang terbabit.
3.0 ASAS PERTIMBANGAN
3.1 Terdapat sekumpulan guru DG44 (yang dahulunya dalam skim PPPLD) yang tidak menikmati faedah ini merasa terkilan tentang faedah yang diperoleh oleh rakan-rakan mereka.
3.2 Apabila kumpulan ini dilepaspandangkan, maka sedikit-sebanyak ia akan mewujud kan jurang gaji yang tidak begitu jauh di antara mereka sedangkan mereka lebih senior sekiranya perkhidmatan DG41 mereka diambilkira.
4.0 SYOR
Dicadangkan agar penambahbaikan kenaikan pangkat bagi kumpulan guru ini ( khas untuk PPPLD DGA29 yang tidak menikmati lantikan ke Gred DGA32 / DGA34 sebelum dilantik ke Gred DG41 dan tidak menikmati faedah yang dimumkan oleh Perdana Menteri untuk kenaikan pangkat DG41 ke DG44 bagi mereka dalam skim PPPLD yang terdahulu ) adalah seperti berikut:
4.1. Menggunapakai kaedah bagi kenaikan pangkat kumpulan guru DG41 ke DG44 (sebelumnya dalam skim PPPLD tanpa menikmati kenaikan pangkat DGA32 KUP ) untuk pelakasanaan kenaikan pangkat DG44 ke DG48 (sebelumnya dalam skim PPPLD yang dilantik ke gred DG41 dan dinaik pangkat ke DG44 tanpa menikmati kaedah yang diumumkan oleh Perdana Menteri) baru-baru ini.
5.0 IMPLIKASI KEWANGAN
Sekiranya cadangan ini dapat dipertimbangan, sudah pasti ia akan menimbulkan sedikit implikasi dari segi kewangan. Namun implikasi kewangan ini masih mampu ditanggung oleh pihak kerajaan kerana kekosongan gred jawatan sedia ada (DG48) masih lagi luas.
6.0 PENUTUP
Pengorbanan kumpulan guru ini perlu diambilkira kerana mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi mempertingkatkan ilmu mereka. Justeru, pengorbanan mereka ini perlu diberi pertimbangan dengan memberi kenaikan pangkat yang sewajarnya bagi mereka supaya pengorbanan mereka dilihat sebagai 'berbaloi' kalau dibandingan dengan mereka yang semata-mata 'bernasib baik' walaupun mereka tidak bersusah payah untuk mendapat imbuhan tersebut.
Disediakan oleh:
Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak
2. CADANGAN UNTUK MEMURNIKAN BEBERAPA ISTILAH PERJAWATAN DALAM KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA SUPAYA SELARAS DENGAN FAEDAH SKIM EX-GRATIA BENCANA KERJA BAGI ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA
1.0 PENGENALAN
Skim Ex-Gratia Bencana Kerja adalah satu bentuk kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan kepada anggota Perkhidmatan Awam semasa berada di dalam tugas rasmi. Di bawah skim ini anggota Perkhidmatan Awam yang ditimpa kemalangan atau kecederaan termasuk yang teraniaya oleh anasir-anasir jahat ketika menjalankan tugas rasmi sehingga menyebabkan hilang upaya kekal ( HUK ) atau kematian boleh dipertimbangkan oleh Panel Pegawai yang ditubuhkan oleh Perbendaharaan Malaysia untuk mendapat bayaran pampasan.
2.0 TUJUAN
Kertas cadangan ini bertujuan :
2.1 Memurnikan beberapa istilah yang digunapakai dalam perkhidmatan atau perjawatan dalam Kementerian Pelajaran Malaysia.
Contohnya : (i) Jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih
(ii) Jawatan Guru Sandaran Terlatih
2.2 Permurnian istilah yang dinyatakan di atas adalah perlu dengan tujuan untuk menyelaraskan istilah yang digunapakai dalam skim Ex-Gratia ini.
3.0 ASAS PERTIMBANGAN
3.1 Skim Ex-Gratia adalah merupakan skim perlindungan yang wajar bagi semua anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan, namun disebabkan oleh beberapa istilah yang tidak selaras dengan istilah yang digunapakai dalam skim maka guru-guru sebagai anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang dilantik atas jawatan yang dinyatakan di atas tidak akan mendapat faedah skim ini sekiranya berlaku bencana kerja ke atas mereka.
Contohnya:
Terdapat guru-guru yang yang masih berada dalam jawatan Guru Sandaran Terlatih tidak mendapat pampasan melalui skim Ex-Gratia ini apabila mereka meninggal dunia ( akibat bencana kerja ) hanya disebabkan oleh istilah Guru Sandaran Terlatih yang digunapakai dalam perjawatan Kementerian Pelajaran Malaysia tidak termaktub dalam skim ini. Apabila berlakunya keadaan sedemikian, alangkah sedihnya kita khususnya ahli waris pegawai berkenaan tidak mendapat apa-apa pampasan daripada kerajaan sedangkan perkara ini hanya berlaku disebabkan kesilapan teknikal sahaja.
4.0 SYOR
Untuk memastikan agar guru-guru khususnya bagi mereka yang masih lagi berada jawatan Guru Sandaran Terlatih ataupun Guru sandaran Tidak Terlatih terlindung dalam Skim Ex-Gratia ini maka adalah dicadangkan agar:
Istilah Jawatan Guru Sandaran Terlatih dan Jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih digantikan dengan Istilah Guru Sementara sahaja.
Cadangan ini dikemukakan sedemikian, kerana istilah perjawatan yang digunapakai dalam Skim Ex-Gratia ini ialah pegawai tetap, kontrak dan sementara Perkhidmatan Awam.
5.0 IMPLIKASI KEWANGAN
Sekiranya cadangan ini dapat dipertimbangan, sudah pasti ia akan menimbulkan sedikit implikasi dari segi kewangan. Namun demikian, implikasi kewangan ini masih mampu ditanggung oleh pihak kerajaan kerana peruntukan bagi skim sememang sudah sedia ada.
6.0 PENUTUP
Pengorbanan kumpulan guru ini (Guru Sandaran Terlatih / Guru Sandaran Tidak Terlatih) perlu diambilkira kerana mereka sanggup berkorban masa, dan tenaga demi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka. Justeru, pengorbanan mereka ini perlu diberi pertimbangan dengan merangkumi perkhidmatan mereka dengan skim Ex-Gratia yang sedia ada.
Disediakan oleh:
Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak
3. CADANGAN UNTUK MENINGKATKAN SYARAT UMUR 45 TAHUN KE 48 TAHUN BAGI PEMOHON KURSUS DALAM PERKHIDMATAN BERSEPADU BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN ( PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU SEKOLAH RENDAH - PGSR )
1.0 PENGENALAN
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mempelawa Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Bukan Siswazah ( PPPBS ) yang sedang berkhidmat di sekolah rendah dan menengah di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memohon mengikuti Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah ( PGSR ) Kursus Secara Sambilan, Mode Kursus Dalam Cuti. Kohort pertama dijangka akan bermula pada bulan November 2008.
Berdasarkan iklan yang telah dikeluarkan, pemohon-pemohon yang berminat mestilah berusia TIDAK MELEBIHI 45 TAHUN pada 15 November 2008.
2.0 TUJUAN
Kertas cadangan ini bertujuan :
2.1 Mencadangkan agar usia pemohon bagi kursus Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah ini disyaratkan TIDAK MELEBIHI 45 TAHUN dinaikkan ke TIDAK MELEBIHI 48 TAHUN berkuatkuasa serta-merta.
3.0 ASAS PERTIMBANGAN
3.1 Sejak kursus ini diumumkan oleh Yang Berbahagia Datuk Alimuddin Hj. Mohd. Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam kenyataan akhbar beliau sebelum ini, ramai kalangan guru ( PPPBS ) berminat untuk mengikuti kursus ini. Namun, apabila iklan dikeluarkan melalui laman web, ramai juga mereka terkilan kerana had umur pemohon adalah tidak melebih 45 tahun. Walau bagaimanapun, untuk tidak melepaskan peluang ini, mereka yang berusia melebihi 45 tahun ini juga turut memohon dan "mencuba nasib" untuk dipertimbangkan.
3.2 Oleh kerana kursus ini merupakan satu peluang yang terbaik bagi guru-guru PPPBS untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka, maka sewajarnya kumpulan yang berusia tidak melebihi 48 tahun diberi peluang untuk mengikuti kursus ini kerana mereka adalah kumpulan yang senior.
4.0 SYOR
Berdasarkan asas pertimbangan yang dinyatakan di atas, Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak merayu agar Kementerian Pelajaran Malaysia dapat menaikkan syarat usia pemohon kursus ini TIDAK MELEBIHI 48 TAHUN dengan berkuatkuasa serta-merta demi memenuhi permintaan guru-guru dalam kumpulan ini yang turut memohon dalam kohort yang pertama ini.
5.0 IMPLIKASI KEWANGAN
Sekiranya cadangan ini dapat dipertimbangkan, ia tidak akan menimbulkan implikasi dari segi kewangan kerana jumlah kuota yang digunakan masih tertakluk kepada jumlah pengambilan kohort yang pertama seperti yang terdapat di dalam peruntukan yang telah disediakan.
6.0 PENUTUP
Dengan memberi peluang kepada kumpulan guru yang melebihi syarat usia ini untuk turut terpilih dalam kohort ini membuktikan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia amat prihatin dengan sumbangan mereka di samping hasrat mereka untuk meningkat kualiti pendidikan mereka seperti mana yang diharapkan oleh kerajaan pada masa kini.
Disediakan oleh:
Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak
4. CADANGAN UNTUK MENYEDIAKAN PELUANG KENAIKAN PANGKAT BAGI GURU-GURU DALAM GRED DGA32 HAKIKI ( PENYANDANG JAWATAN GURU BESAR SKM DAN GURU-GURU PENOLONG KANAN ) DENGAN MEWUJUDKAN HIERARKI JAWATAN DI SEKOLAH KEBANGSAAN DENGAN LEBIH REALISTIK
1.0 PENGENALAN
Guru-guru dalam Gred DGA32 (Hakiki) adalah kumpulan guru yang menyandang jawatan Guru Besar di sekolah-sekolah kebangsaan kurang murid dan juga Guru-Guru Penolong Kanan di sekolah-sekolah kebangsaan. Sejak pelaksanaan kenaikan pangkat DGA32 ( KUP ) yang begitu besar, akhirnya jawatan DGA32 hakiki ini seolah-olah 'terpinggir' begitu sahaja. Ini adalah disebabkan mereka yang berada di dalam Gred DGA32 hakiki ini tidak mempunyai peluang untuk menikmati kenaikan pangkat walaupun ada di antara mereka ini boleh dikategorikan sebagai penyandang jawatan yang begitu senior.
2.0 TUJUAN
Kertas cadangan ini bertujuan :
2.1 Menyediakan peluang kenaikan pangkat bagi kumpulan guru DGA32 hakiki dengan mewujudkan hierarki jawatan yang lebih realistik.
2.2 Peluang kenaikan pangkat ini sekurang-kurangnya menjadi dapat memberi motivasi kepada kalangan guru berkenaan untuk melaksanakan tugas mereka.
2.3 Mengurangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kumpulan guru yang terbabit.
3.0 ASAS PERTIMBANGAN
3.1 Kebanyakan guru dalam kumpulan /gred DGA32 hakiki tidaklah begitu ramai tetapi memandangkan tidak ada jawatan kosong maka mereka 'tersangkut' pada jawatan tersebut dalam masa yang begitu lama.
3.2 Apabila kumpulan ini dilepaspandangkan, maka sedikit-sebanyak ia akan mewujudkan kurang puas hati dalam kalangan mereka mereka adalah di antara pegawai yang senior di samping menjalankan tugas yang berat kalau dibandingkan rakan mereka yang berada di dalam gred DGA32 KUP.
4.0 SYOR
Dicadangkan agar diwujudkan hierarki jawatan kenaikan pangkat yang lebih realistik bagi jawatan pentadbiran di sekolah-sekolah kebangsaan seperti berikut.
Penolong Kanan : DGA34 hakiki
Guru Besar : DGA36 hakiki
Guru Besar Kanan : DGA38 hakiki
Guru Besar Cemerlang : DGA40 hakiki
5.0 IMPLIKASI KEWANGAN
Sekiranya cadangan ini dapat dipertimbangan, sudah pasti ia akan menimbulkan sedikit implikasi dari segi kewangan. Namun implikasi kewangan ini masih mampu ditanggung oleh pihak kerajaan kerana bilangan kumpulan ini tidak begitu besar.
6.0 PENUTUP
Pengorbanan kumpulan guru ini perlu diambilkira kerana mereka sanggup berkorban masa, dan tenaga demi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka. Justeru, pengorbanan mereka ini perlu diberi pertimbangan dengan menyediakan peluang kenaikan pangkat yang sewajarnya bagi mereka supaya pengorbanan mereka dilihat sebagai 'berbaloi' kalau dibandingan dengan mereka yang semata-mata 'bernasib baik' walaupun mereka tidak bersusah payah untuk mendapat imbuhan tersebut.
Disediakan oleh:
Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak