Assallamu'alaikum warah matullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera serta salam 1 Malaysia.




Rakan-rakan ahli yang budiman lagi dihormati sekalian,

Pertama-tamanya, marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan rahmat dan izin-Nya jua telah dapat mempertemukan kita dalam ruangan web www.kgbsssarawak.com sempena coretan kata awal tahun 2012 ini.  Berkesempatan ini, saya bagi pihak kepimpinan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2012 kepada semua ahli Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak di seluruh pelosok negeri Sarawak ini.

Sesungguhnya,  kita berasa amat bertuah dan bersyukur atas anugerah kesihatan dan usia kerana dengan nikmat ini telah memberi peluang kepada kita untuk meneruskan kehidupan ini dan seterusnya memberi khidmat dan sumbangan kita kepada agama, negara, dan bangsa yang kita cintai ini.  Dalam pada itu, sebagai pemimpin dan ahli Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak, saya mendoakan agar kita sama-sama dapat terus menyumbangkan khidmat dan bakti kita demi memantap dan seterusnya memartabatkan lagi prestij serta memperkasakan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak dalam usaha kita untuk melonjakkan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak ke persada kegemilangan dari semasa ke semasa khususnya sepanjang tahun 2012 ini.


Rakan-rakan ahli  yang dihormati sekalian,

Sesungguhnya, dewasa ini kita telah berada dalam arena globalisasi. Ditambah pula dengan agenda transformasi yang sentiasa menjadi laungan dalam kalangan kepimpinan negara.  Justeru, dalam usaha kita untuk menghadapi agenda transformasi ini maka kita perlu berada dalam situasi kesiapsiagaan yang sewajarnya. 

Dalam konteks kita menghadapi  arena globalisasi serta agenda transformasi ini, maka KGBS ingin menyeru kepada rakan-rakan ahli khususnya yang masih berada dalam usia yang muda agar sentiasa mempertingkatkan ilmu dan kemahiran diri dalam apa jua bidang yang sesuai dengan tuntutan zaman kini.  Kepada rakan-rakan ahli, salah satu usaha kita untuk mempertingkatkan ilmu ialah meneruskan pendidikan masing-masing ke peringkat pengajian tinggi. Sesungguhnya era penyebaran ilmu dewasa ini sungguh mudah.  Maksudnya, tempat untuk kita menuntut ilmu semakin hampir dengan kita.  Apa yang penting ialah usaha kita untuk mendekatinya. Justeru, sekiranya kita masih berada dalam kelompok bukan siswazah, KGBS amat menggalakkan rakan-rakan sekalian memohon dan mengikuti program pensiswazahan guru yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.  Manakala bagi rakan-rakan yang telah bergelar siswazah, teruskanlah langkah rakan-rakan untuk memperoleh ijazah lanjutan seterusnya. KGBS menyeru rakan-rakan ahli bertindak sedemikian kerana KGBS melihat peningkatan ilmu diri pada masa kini sudah menjadi satu tuntutan yang relevan apatah lagi kita bergelar sebagai seorang guru untuk menghadapi dunia yang sangat kompetatif seperti pada zaman kini.

Justeru,  sempena melangkah ke tahun 2012 ini, Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak mengharapkan agar saranan yang dilontarkan di atas ini akan menjadi salah satu azam tahun baharu 2012 bagi ahli-ahli KGBS di seluruh pelosok negeri Sarawak.


Rakan-rakan ahli yang budiman,

Membicarakan tentang usaha untuk melonjakkan kegemilangan  Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak, pihak kepimpinan KGBS akan berusaha sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebaik mungkin. Walaupun demikian, usaha yang besar ini mungkin tidak termampu digalas oleh kumpulan kepimpinan KGBS semata-mata tanpa adanya sokongan dan dokongan daripada rakan-rakan ahli sekalian.

Justeru itu, untuk merealisasikan hasrat dan harapan ini,  saya serta kepimpinan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak memohon jasa baik serta kerjasama ahli-ahli sekalian agar terus memberi sokongan padu terhadap agenda Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak dengan mengekalkan budaya yang sentiasa memberi sokongan serta mendokong antara satu sama lain, merapatkan ukhwah pasukan di samping mengamalkan daya dan nilai kepimpinan yang tinggi. 

Dalam usaha KGBS meneruskan agendanya seumpama ini,  jasa dan sumbangan pemimpin serta ahli-ahli Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak terdahulu yang telah membawa kelangsungan serta kelestarian Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak hingga kini tetap disanjung tinggi. Oleh yang demikian, kejayaan yang kita raih pada hari ini adalah membuktikan komitmen dan pengorbanan semua pihak khususnya ahli-ahli Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak yang telah memberi kepercayaan kepada kepimpinan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak dalam meneruskan agenda untuk memperjuangkan kebajikan dan perkhidmatan demi manfaat serta kebaikan warga guru keseluruhannya.  Oleh itu, saya serta kepimpinan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak ingin menyeru sekali lagi agar setiap ahli dapat memainkan peranan masing-masing dalam kelompok yang besar dalam mencapai aspirasi Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak.


Rakan-rakan ahli-ahli yang budiman dan dihormati sekalian,

Dalam usaha Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak untuk memastikan agar agenda yang dihasratkan ini menjadi realiti, komitmen semua pihak sama ada pihak kepimpinan mahu pun ahli-ahli adalah amat dihargai.  Justeru itu, sokongan padu dan mantap daripada ahli-ahli sekalian akan memperkukuhkan lagi nada perjuangan kesatuan kita untuk kita nikmati manfaat serta ganjaran yang lebih baik pada masa yang akan datang. 

Semoga usaha murni Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak selama ini akan sentiasa mendapat rahmat serta keberkatan daripada Allah S.W.T.  Sesungguhnya kita sebagai insan yang kerdil hanya mampu merancang namun kekuasaan Allah jua akan menentukannya.


Sekian,  wassallam dan terima kasih.


PERUTUSAN PRESIDEN
PORTAL RASMI KESATUAN GURU BUMIPUTERA SARAWAK                PORTAL RASMI KESATUAN GURU BUMIPUTERA SARAWAK       PORTAL RASMI KESATUAN GURU BUMIPUTERA SARAWAK            PORTAL RASMI KESATUAN GURU BUMIPUTERA SARAWAK

TEKS UCAPAN
SDR. AHMAD BIN MALIE
PRESIDEN
KESATUAN GURU BUMIPUTERA SARAWAK